24 December 2012

Allah Tak Perlu Dibela ? (Part 2)

Islam untuk manusia dan alam
Siapakah yang lebih arif berkenaan manusia dan alam selain daripada Allah ?

Tiada. Allah adalah Pencipta kepada segala galanya. Dia adalah Yang Paling Memahami apa yang diperlukan oleh apa yang diciptakanNya.

Dialah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak menuju langit, lalu dijadikanNya tujuh langit. Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. (Al Baqarah 2:29)

Maka diturunkan Islam sebagai satu peraturan dan cara hidup yang mencakupi seluruh kehidupan manusia serta merangkumi penjagaan kemaslahatan alam keseluruhannya. Jika kita kaji dengan lebih mendalam berkenaan Islam,semua perkara wujud di dalamnya. Kita akan perhatikan betapa Islam adalah yang terbaik dalam memberikan kebaikan kepada alam semesta.

Dan Kami turunkan al Quran itu dengan sebenar benarnya dan al Quran itu telah turun dengan (membawa) kebenaran. Dan Kami tidak mengutus kamu. melaikan sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. (Al Israa' 17:105)

Melanggar aturan Islam, ertinya bergerak untuk merosakkan hidup manusia dan merosakkan alam itu sendiri. Sebarang pergerakan untuk menghapuskan hukum Islam serta merosakkan akidah yang dibawanya , perlulah ditentang bagi menjaga kemaslahatan manusia dan alam semesta.

Dan Janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan kepadanya. Dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang orang yang memperbaiki amalannya. (Al A'raf 7:56)

Sebab Islam sahaja yang mampu membawa dunia kepada kestabilan.

Hal ini tidak akan mampu dilihat oleh mereka yang tidak memahami apakah tujuan Islam dicipta oleh Allah, serta pastinya tidak akan langsung mampu disedari oleh merekayang memandang Islam dengan pandangan yang tidak menyeluruh.

Bagi mereka yang sedar, perjuangan membela Islam adalah sama dengan membela manusia serta alam sejagat itu sendiri. Kita hakikatnya bukan membela Allah.

Allah memang tidak perlukan pembelaan. Tetapi itu tidak boleh menjadi dalil untuk menghentikan perjuangan mengakkan Islam.

Bangkit Berjuang
Memahami hakikat betapa Islam itu membawa kemaslahatan kepada insan dan alam sejagat, dan kehilangan Islam dalam kehidupan akan membawa kepada kerosakan, sebab itulah wujudnya pembela pembela yang bergerak menegak dan mempertahankan Islam.

Sesiapa yang hanya melihat Islam sekadar di pagar pagar masjid, memang tidak akan melihat kerelevanan pembelaan ini.

Sesiapa yang melihat Islam hanyalah berkait dengan akhirat dan ketuhanan, bukan dunia dan kemanusiaan, memang tidak akan melihat kenyataan ini.

Tetapi, para pejuang yang hendak membela manusia dan alam ini dengan menegakkan Islam, melihat Islam itu secara syumul (menyeluruh). Daripada akhlak hinggalah ke ekonomi, Islam wujud mengatur. Daripada ketuhanan hinggalah kemanusiaan, dari rumah hinggalah ke seluruh alam, Islam hadir menakupi semuanya dan semuanya memerlukan Islam bagi bergerak dalam keadaan yang terbaik.

Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut  dengan sebab sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia:(timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat) (Ar Rum 30:41)

Matlamat Pembelaan bukan untuk Tuhan
Bukanlah Allah tidak memerlukan pembelaan, maka tidak perlu wujudnya perjuangan. Jangan dihukum orang yang berzina, jangan diperangi Israel dan Amerika, usah kisah dengan pemerintah yang zalim dan tidak payahlah mengajak manusia kepada Allah. Bukan begitu maksudnya.

Perjuangan menegakkan Islam dan mempertahankannya, hakikatnya adalah untuk membela manusia yang mengambil Islam sebagai cara hidup. Supaya mereka yang hendak mengamalkan Islam, yang hendak membawa kestabilan kepada dunia ini tidak dikacau dan diganggu. Melakukan pembelaan ini, hakikatnya kita sedang mebela kemaslahatan diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia seluruhnya. Bukankah ini satu tugas yang mulia ?

Jika kita tidak mahu membela, Allah tidak akan rugu apa apa. Yang rugi adalah manusia. Lihatlah hari ini. Siapakah yang menjadi mangsa lantaran jenayah jenayah yang berlaku? Siapakah yang menjadi mangsa akibat kucar kacir politik? Siapakah yang menjadi mangsa anasir anasir kebejatan sosial yang membawa kepada keuntuhan akhlak dan jatuhnya morah kehidupan ? Kita .

Siapakan yang rugi ?

Kita .

(Iaitu) orang orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan di muka bumi. Mereka itulah orang orang yang rugi. (Al Baqarah 2:27)

Allah memang tidak memrlukan pembelaan, tetapi kita perlu.

Pembelaan yang pertama adalah kita membela diri kita sendiri dengan mengambil Islam sebagai cara hidup dan mempertahankannya.

No comments:

Post a Comment